Like Sampai Jari Patah

Sunday, 24 July 2011

Benarkah Itu Cinta ??



Menurut kalian ??

Semoga kita semua dalam keadaan sihat dalam lindungan rahmat ALLAH SWT. Alhamdulillah masih dberi nikmat bernafas di atas muka bumi ALLAH SWT ini. Semoga kita menjadi hamba-hambaNya yang bersyukur..

Setiap insan memiliki hati dan setiap hati itu memiliki cinta. Hati adalah tempat bersemayamnya cinta dan bersemayamnya cinta di hati itu menjadikan kita sebagai insan. Begitulah eratnya antara Insan, Hati & Cinta. Tidak dapat dan tidak mungkin dapat dipisahkan.

Saya sering ditanya "Berdosakah apabila jatuh cinta pada seseorang?". "Alhamdulillah kamu adalah manusia normal". Itulah kebiasaannya respons pertama saya. Hati kita memang mudah jatuh cinta dan mudah pula membenci. Bahkan kadang-kadang kita sangat cintakan seseorang kemudian dia pulalah yang paling kita benci. Kecintaan kadang-kadang menjadikan kita seperti lembu yang dicucuk hidung hingga boleh diseret kemana-mana sahaja walaupun ke lembah kehinaan dan kotor. Tetapi cinta juga boleh mengangkat kita tinggi bahkan lebih tinggi dan mulia dari malaikat. Itulah cinta, penuh dengan keajaiban.

Islam tidak pernah melarang kita untuk jatuh cinta atau dicintai. Bahkan Islam tidak pernah menggambarkan cinta itu hina dan keji sehinggalah cinta itu sendiri dikuasai nafsu dan diukur dengan nilai-nilai cetek dan sementara tanpa dihubungkan dengan nilai Iman dan kehidupan akhirat yang kekal abadi. 

Bukankah cinta itu suci, sesuci embun pagi. Bukankah cinta itu mulia dan tinggi. Bukankah cinta itu datang dari kebersihan hati lalu melahirkan kemuliaan budi, kasih dan kepekaan jiwa. 
Benarkah itu cinta, Kalau kita semakin keji dan hina? Benarkah itu cinta? kalau kita semakin bodoh dan lupa kemuliaan diri? Benarkah itu cinta? kalau kehidupan kita hilang pedoman hingga akhirnya kita terdampar dipantai maksiat? Benarkah itu cinta? kalau kita lupa diri hingga tercampak ke lembah yang hina dina? Benarkah cinta yang menjadikan kita bodoh, hina, keji dan lupa diri? Benarkah cinta yang menjadikan hati kita hitam dan kotor hingga diri kita tidak lagi 'suci'? Benarkah cinta yang menjadikan kita sesat dalam kehidupan? Benarkah cinta yang menjadikan kita lupa dari mana kita datang, untuk apa didatangkan dan kemana akhirnya kehidupan?

Benarkah itu cinta atau nafsu yang menggoda atau syaitan yang memperdaya atau iman yang semakin kehilangan nyala? Benarkah itu cinta atau kejahilan yang menguasai atau dunia yang memperdaya diri atau kita yang buta dan lupa?

Buta terhadap kebenaran dan iman.. Buta terhadap kemuliaan dan ketinggian.. Lupa terhadap syaitan yang penuh kebencian.. Lupa terhadap nafsu yang memperdayakan insan.. Bukankah kita semua inginkan kemuliaan? Bukankah kita semua mencari kebahagiaan? Bukankah kita semua mencari 'jalan pulang' ?Kenapa kehinaan yang datang? Kenapa tiada lagi damai dan ketenangan? Kenapa kita tersesat di pertengahan jalan? Kenapa kita terlupa 'jalan pulang' ?Benarkah itu cinta? Atau kita yang diperdaya kehinaan yang dihias hingga mempesonakan kesementaraan dinampakkan kekal? Segala yang busuk terbau harum.. Segala yang keji ternampak indah..

Benarkah itu cinta? Untuk menjawab persoalan ini memerlukan jiwa yang bersih dan iman yang benar bukan nafsu dan kejahilan. Cuba kita hitung dengan kebenaran, berapa ramai yang tewas dalam pelukan cinta sedangkan semalamnya dia adalah lelaki atau wanita mulia. Cuba kita tanyakan iman kita berapa ramai yang mendirikan rumahtangga atas dasar 'cinta pertama' dan berapa ramai yang mampu mempertahankan mahligai cinta itu hingga keakhir hayat mereka. Cuba kita buka mata hati kita dan kita lihat dunia cinta ini dengan ilmu, iman, kebenaran dan kesedaran.

Ya, benar cinta itu membahagiakan bukan memperdayakan. Kita tidak inginkan kebahagiaan yang bersifat sementara dan kebahagiaan sementara ini tak lebih dari 'kosmetik' sahaja. kita perlukan cinta bukan 'kosmetik cinta'. Kita perlukan cinta kerana kita perlukan kebahagiaan bukan kerana cinta itu sendiri. Jadi kalau ada orang yang sedang bercinta saya mohon 'teruskan percintaan anda'. Cinta itu tenang dan membahagiakan. Cinta itu menjadikan kita mulia dan tinggi. Mulia dan tinggi disisi ArRahman dan ArRahim sumber dan simbol cinta hakiki. Kalau ada yang masih belum jatuh cinta. Ayuh, carilah cinta anda kerana ianya menghidupkan hati, membuka mata dan memimpin jiwa.

Saturday, 23 July 2011

lelaki



Lelaki yang bijak sentiasa berusaha menjadi pelindung kepada wanita.

Lelaki yang bijak takkan meminta dan mengharapkan sesuatu yang belum menjadi haknya.

Lelaki yang bijak sentiasa menjaga pandangan mata dan hatinya.

Lelaki yang bijak menyedari bahawa seorang perempuan itu hanya mahu dirinya dihormati.

Lelaki yang bijak hanya mahukan wanita yang terbaik untuk menjadi suri hidupnya.

Jadilah pelindung kepada kaum Hawa dengan tidak memandang kami.

Jadilah pelindung kepada kami dengan menambahkan ilmu dengan amalmu, supaya nanti apabila tiba masanya, dapat kalian menjadi pemimpin keluarga yang dihormati.

Jadilah pelindung kepada kami dengan menjaga sebaik-baiknya akhlakmu.

Jadilah pelindung yang terbaik dengan mencontohi Rasulmu!

Lelaki yang pintar sentiasa risau dirinya akan membawa fitnah kepada wanita,

Lelaki yang pintar tidak akan sekali-kali gentar apabila seorang wanita bertindak tegas terhadapnya kerana dia sedar itulah wanita sejati! Yang mempunyai harga diri, yang takut kepada Ilahi.

Lelaki yang pintar takkan risau dan gusar dengan status single kerana dia tahu dengan izinNya kelak dia akan berjabat dengan seorang wali yang bakal memberikan titik noktah kepada status tersebut!

Lelaki yang baik takkan berusaha mendekati, meskipun dengan niat yang suci, kerana dia sentiasa menyedari, niat mungkin terpesong sekalipun begitu murni, kerana dia mengakui, makhluk bertanduk dua sentiasa "ready"! Ingatlah, Dia jua yang Maha Memerhati.

Wabishah bin Ma'bad berkata: Aku mendatangi Rasulullah dan baginda bertanya "Engkau datang untuk bertanya tentang kebajikan?" Aku menjawab, "Ya, benar." Baginda bersabda, "Tanyakan pada hatimu sendiri! Kebaikan adalah sesuatu yang membuat jiwamu tenang dan hatimu tenteram, sedangkan dosa adalah sesuatu yang menimbulkan keraguan dalam jiwa dan rasa gundah dalam dada, meski telah berulang kali manusia memberi fatwa kepadamu."
(Hadis riwayat Imam Ahmad)

Tiada gunanya segala apa yang diperkatakan andainya hati kita tertutup daripada kebenaran. Bersihkanlah hati kita, sesungguhnya itulah anggota yang paling berharga. Disebabkan kerosakan hati itulah berlakunya kerosakan-kerosakan yang lain. Rajin-rajinkanlah membersihkan hati.

...................... :)



Cinta yang bertandang di lubuk hati setiap insan itu fitrah yang merupakan anugerah dari Maha Pencinta. Hakikatnya asal kejadian cinta itu bersih dan suci tetapi malangnya ia cemari oleh debu-debu maksiat yang dicipta oleh manusia sendiri. Terkadang terfikir sendiri untuk apa menikmati cinta sebelum berkahwin? Bimbang ia menjadi tawar dan hambar. Bukankah itu menghilangkan barakah dan kemanisan di alam rumah tangga kelak.

Jika ditanya pada setiap orang tentang impian masing-masing dalam membina rumahtangga jawapan yang diterima pasti adalah ingin membina "baitul muslim" dan sebagai wasilah untuk peningkatan hidup juga mampu memberikan sesuatu yg bermanfaat kepada agama. Tetapi bagaimana untuk membina baitul muslim andai di permulaannya sudah dicemari. Barakah yang Allah SWT janjikan itu hanya ada buat ikatan yang terpelihara.

Untuk itu wahai para mujahid dan mujahidah, jika kalian belum berkahwin, kejarlah Allah SWT sebelum mengejar cinta Adam dan Hawa. Tanpa redha Allah SWT, andai dirinya kau miliki sekalipun, kau pasti takkan bahagia. Percayalah. Sia-sia segala usaha yang kau curahkan atas dasar yang tidak diredhai Allah. Ianya hanya meluputkan berkat daripada hidupmu. Peliharalah kesucian cinta yang kerap teruji di alam remaja, cintailah Allah, nescaya cinta pasangan soleh/ah turut kau miliki.

Andai dirimu jatuh cinta kuatkanlah prinsip dirimu dengan hadis ini: "Sesiapa yang jatuh cinta, lalu dia memelihara kesucian dirinya dan bersabar hingga meninggal dunia, maka dia adalah seorang yang syahid."
(Riwayat Hakim, Ibn Asakir, al-Dailami dan lain-lain)

Seorang penyair arab berkata tentang bahana cinta,

Cinta merupakan anugerah takdir,
Pertama kali datang terlihat bak air yang tenang.
Namun ketika seseorang yang bersangkutan menerjuninya,
Tenggelamlah ia didalamnya, tak tertolong lagi.

Berikanlah cintamu pada yang layak menerimanya. Cintai dia kerana agama pada dirinya kerana itu jaminan bahagia buatmu dunia dan akhirat. Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW bersabda,

"Dinikahi wanita itu kerana empat perkara: kerana hartanya dan kerana keturunannya dan kerana kecantikannya dan kerana agamanya, maka pilihlah yang mempunyai (mengamalkan) agama, ia menyenangkan kamu."

Inilah ukuran yang diajar oleh Rasulullah SAW. Berbahagialah dirimu dan semoga dirimu dicintai Allah SWT.."Aku mencintaimu kerana agamamu. Jika hilang agamamu dari dirimu, maka hilanglah cintaku padamu."
(Imam al-Nawawi)

Serahkan hatimu pada ALLAH, nescaya akan diserahkanNYA kepada pemilik yang terbaik.. Milikilah hatiku dengan izin ALLAH, milikilah cintaku kerana cintaNYA, milikilah diriku kerana agamaNYA, milikilah jiwaku keranaNYA..

bismillahirrahmanirrahim...



rintihan sekeping HATI.. ya Allah, pemilik abadi HATI setiap hamba2Nya.. 
andai si dia dapat mendengar dan membaca apa yang terbuku di HATI ini... khabarkanlah padanya ya Allah.. agar aku dan si dia merasa tenang....

khabarkanlah pada si dia, aku ada pesanan untuknya,
Tolong beritahu si dia, cinta yang agung hanyalah cintaNya,
Tolong khabarkan padanya, cinta manusia bakal membuatnya alpa,
nasihatkanlah dia, jangan mencintaiku lebih dari dia mencintai Yang Maha Esa,
Tolong nasihatkan dia, jangan mengingatku melebihi dari dia mengingati Yang Maha Kuasa,
khabarkanlah padanya, jangan mendoakanku melebihi doa dia kepada ibu bapanya....

katakanlah padanya, dahulukan Allah kerana di situ ada syurga,
katakanlah padanya, dahulukan ibu bapanya kerana di telapak itu syurganya,
ingatkanlah si dia, aku terpikat kerana imannya bukan rupanya,
ingatkanlah si dia, aku lebih cintakan zuhudnya bukan hartanya,
ingatkanlah dirinya, aku kasihinya kerana santunnya,
tegurilah dirinya, ketika dia mulai mengagungkan cinta manusia....

tegurilah si dia, bila dia tenggelam dalam angan-angannya,
ingatkanlah dirinya, andai nafsu mengawal fikirannya,
sedarkanlah si dia, aku milik Yang Maha Esa,
nasihati… dan sedarkanlah si dia, tanggungjawabnya besar untuk dirinya..

sabarkanlah dirinya ya Allah, andai diri enggan dirapati kerana menjaga batasan cinta,
sabarkanlah dia, ketika jarak menjadi penyebab bertambah rindunya,
pesankanlah padanya, aku tidak mahu menjadi fitnah besar kepadanya,
pesankanlah pada dirinya, aku tidak mahu menjadi puncak kegagalannya,
pesankanlah padanya ya Allah, aku membiarkan Yang Esa menjaga dirinya,
khabarkanlah pada si dia, aku tidak mahu membuat dia terlena....

khabarkanlah padanya ya Allah, aku mahu dia berjaya dalam impian dan cita-citanya,
khabarkan juga padanya, jadilah penyokong dalam kejayaanku,
sampaikanlah pada dirinya, aku mendambakan cinta suci yang terjaga,
sampaikanlah pada si dia, cinta kerana Allah tidak ternilai harganya,
khabarkanlah padanya, hubungan ini terjaga selagi dia menjaga hubungan dengan Yang Maha Kuasa,
ku mohon ya Allah, sampaikan kepada si dia kerana aku tidak mampu memberitahunya sendiri...

~yang teristimewa untukmu :aku yang unik:… bakal makmumku …~

Islam tidak melarang manusia daripada rasa cinta, namun arahkanlah rasa cinta itu agar berjalan di atas landasan yang menjaga martabat kehormatan, baik wanita mahupun lelaki. ketika kita jatuh cinta, perlu berhati-hati… ibaratnya minum air laut, semakin di minum semakin haus. Cinta yang sejati adalah cinta yang tumbuh selepas akad nikah…

kendalikanlah rasa cinta dengan menjaga pandangan, tidak berkhalwat atau berdua-duaan dalam bentuk apapun dan tidak saling bersentuhan apatah lagi bercium dan berpelukan, memang jelas haramnya..

sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Janganlah seorang lelaki dan wanita berkhalwat (berduaan di tempat sepi), sebab syaitan menemaninya, janganlah salah seorang daripada kalian berkhalwat dengan wanita, kecuali disertai dengan mahramnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Jika bimbang keterlanjuran cinta, alihkan rasa cinta itu kepada Allah dengan membanyakkan selawat, zikir, istighfar dan solat sehingga kita tidak diperdayakan oleh nafsu. Apabila kita hampir tewas, nafsulah yang telah memperdayakan kita.

CINTA itu sebahagian daripada fitrah manusia. Azalinya memang sudah ada dalam diri kita. Bersyukurlah ketika diberi rasa cinta dan mampu menyingkap rasa cinta itu dengan tepat dan menurut syari’ah.

Bercinta tidak salah jika diniatkan untuk menuju alam perkahwinan yang diredhai Allah. Nabi Muhammad SAW berpesan tentang cinta yang diriwayatkan Abdullah bin Mas'ud: “Wahai generasi muda, barang siapa di antara kalian mampu serta berkeinginan untuk bernikah. Kerana sesungguhnya pernikahan itu dapat menundukkan pandangan mata dan memelihara kemaluan. Dan barang siapa di antara kalian belum mampu, maka hendaklah berpuasa, kerana puasa itu dapat menjadi penghalang untuk melawan gejolak nafsu.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Ibnu Majah, dan Tirmidzi)

Apabila kita sudah membetulkan niat, maka kita mesti menjadikan diri kita ‘solehah’ agar si dia yang soleh juga akan datang menemui kita atau ditemukan Allah. ingatlah bahawa jodoh adalah ketentuan Allah, manusia hanya boleh merancang dan berusaha tetapi Allah yang menentukan. Kita cuma dapat berusaha mencari jodoh yang baik menurut Islam.

Firman Allah yang bermaksud: “Dijadikan indah pada pandangan manusia, kecintaan kepada apa-apa yang diinginkan iaitu wanita, anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah tempat kembali yang baik.”
(Surah al-Imran, ayat 14)

aku, kamu dan kalian semua….

Cinta paling tinggi martabatnya adalah cinta kerana Allah, bertemu dan berpisah kerana Allah. “Cinta itu berkembang. Kita tidak jatuh cinta. Cinta pandang pertama adalah satu mitos. Sebenarnya perasaan cinta itu berkembang dari semasa ke semasa. Lebih lama kita memahami, mengenali seseorang itu, akan lebih dalam perasaan cinta. Namun, menurut beberapa kajian dan perkongsian pengalaman, ternyata cinta pertama tidak diperlukan sebagai asas kebahagiaan tetapi boleh membantu untuk mencapai kebahagiaan…”

Wallahu’alam… moga mendapat manfaat bersama…

Kisah Cinta :: Pemuda Zuhud dan Gadis Cantik ::


Bersumber dari Raja’ bin Umar An-Nakha’i, dia pernah bercerita: “Dahulu di kota Kufah tinggallah seorang pemuda tampan rupawan yang tekun dan rajin beribadat, dan dia termasuk salah seorang ahli zuhud. Suatu hari pemuda itu singgah di kalangan kaum An-Nakha’ dan di sana dia bertemu dengan seorang gadis yang cantik. Sejak melihatnya pertama kali, dia pun jatuh hati dan tergila-gila oleh kecantikannya. Demikian juga si gadis yang merasakan hal serupa sejak pertama melihat pemuda itu. Si pemuda lalu mengutus seseorang untuk meminangnya tetapi ternyata gadis tersebut telah dipertunangkan dengan putera bapa saudaranya.

Mendengar keterangan ayah si gadis itu, mereka berdua menahan beban cinta yang sangat berat. Si gadis tadi kemudian mengutus seorang hambanya untuk menyampaikan sepucuk surat kepada pemuda tambatan hatinya: “Aku tahu betapa engkau sangat mencintaiku dan kerananya, betapa besar penderitaanku terhadap dirimu sekalipun cintaku tetap untukmu. Seandainya engkau berkenan, aku akan datang berkunjung ke rumahmu atau aku akan memberikan kemudahan kepadamu bila engkau mahu datang ke rumahku.”

Setelah membaca isi surat tersebut, si pemuda kacak itu pun berkata kepada utusan wanita pujaan hatinya, “Kedua tawaran itu tidak ada satu pun yang kupilih! Sesungguhnya aku takut akan seksaan hari yang besar bila aku sampai derhaka kepada Tuhanku. Aku juga takut akan neraka yang api dan jilatannya tidak pernah surut dan padam.”

Pulanglah utusan kekasihnya itu dan dia pun menyampaikan segala yang disampaikan oleh pemuda itu. Si gadis lalu berkata, “Selamanya aku belum pernah menemui seorang yang zuhud dan selalu takut kepada Allah SWT seperti dia. Demi Allah, tidak seorang pun yang layak mendapatkan gelaran kemuliaan kecuali dia, sedangkan kebanyakan orang adalah munafik.”

Setelah berkata demikian, gadis itu lalu melepas segala urusan duniawinya serta membuang jauh-jauh segala sesuatu yang berkaitan dengan dunia. Dia pun memakai pakaian dari tenunan kasar dan sejak itu tekun beribadat, sementara hatinya merana, badannya juga kurus oleh beban cintanya yang besar kepada pemuda yang dicintainya. Dan kerinduannya yang mendalam menyelimuti sepanjang hidupnya hingga akhir hayatnya.

Setelah gadis itu meninggal dunia, sang pemuda sering pula berziarah ke makamnya. Pada suatu ketika dia bermimpi seakan-akan melihat kekasihnya dalam keadaan yang sangat menyenangkan. Pemuda itu pun bertanya, “Bagaimana keadaanmu dan apa yang kau dapatkan setelah berpisah denganku?”

Gadis kekasihnya itu menjawab dengan menyenandungkan untaian syair:

Kasih...
cinta yang terindah adalah mencintaimu,
sebuah cinta yang membawa kepada kebajikan.
Cinta yang indah hingga angin syurga berasa malu
burung syurga menjauh
dan malaikat menutup pintu.

Mendengar penuturan kekasihnya itu, pemuda tersebut lalu bertanya kepadanya, “Di mana engkau berada?”

Kekasihnya menjawab dengan melantunkan syair:

Aku berada dalam kenikmatan
dan kehidupan yang tiada mungkin berakhir
berada dalam syurga abadi yang dijaga oleh para malaikat
yang tidak mungkin binasa
yang akan menunggu ketibaanmu, wahai kekasih

Pemuda itu kembali berkata kepada kekasihnya, “Di sana aku mohon agar engkau selalu mengingatiku dan sebaliknya aku pun tidak dapat melupakanmu!”

“Dan demi Allah, aku juga tidak akan melupakan dirimu. Sungguh, aku telah memohon untukmu kepada Tuhanku juga Tuhanmu dengan kesungguhan hati, sehingga Allah berkenan memberikan pertolongan kepadaku!” jawab gadis kekasihnya itu.

Pemuda itu kembali berkata kepadanya, “Bila aku dapat melihatmu kembali?”

“Tak lama lagi engkau akan datang menyusulku kemari,” jawab kekasihnya.

Tujuh hari sejak pemuda itu bermimpi bertemu dengan kekasihnya, ia meninggal dunia. Semoga Allah sentiasa mencurahkan kasih sayangNya kepada mereka berdua dan mempertemukannya kembali di syurga.

LOVE STORY: Saidina Ali & Fatimah Az-Zahrah


Dipendamkan di dalam hatinya, yang tidak diceritakan kepada sesiapa tentang perasaan hatinya. Tertarik dirinya seorang gadis, yang punya peribadi tinggi, paras yang cantik, kecekalan yang kuat, apatah lagi ibadahnya, hasil didikan ayahnya yang dicintai oleh umat manusia, yakni Rasulullah SAW. Itulah Fatimah Az-Zahrah, puteri kesayangan Nabi Muhammad, serikandi berperibadi mulia.

Dia sedar, dirinya tidak punya apa-apa untuk meminang puteri Rasulullah. Hanya usaha dengan bekerja supaya dapat merealisasikan cintanya. Itulah Ali, sepupu baginda sendiri. Sehingga beliau tersentap, mendengar perkhabaran bahawa sahabat mulia nabi, Abu Bakar As-Siddiq, melamar Fatimah. "Allah mengujiku rupanya”, begitu batin ’Ali. Ia merasa diuji kerana merasa apalah dia dibanding Abu Bakar. Kedudukan di sisi Nabi? Abu Bakar lebih utama, mungkin dia bukan kerabat dekat Nabi seperti Ali, namun keimanan dan pembelaannya pada Allah dan RasulNya tak tertanding. Lihatlah bagaimana Abu Bakar menjadi kawan perjalanan Nabi dalam hijrah sementara Ali bertugas menggantikan beliau untuk menanti maut di ranjangnya. Lihatlah juga bagaimana Abu Bakar berdakwah. Lihatlah berapa banyak tokoh bangsawan dan saudagar Makkah yang masuk Islam kerana sentuhan Abu Bakar; Utsman, Abdurrahman ibn ’Auf, Thalhah, Zubair, Sa’d ibn Abi Waqqash, Mush’ab. Ini yang tak mungkin dilakukan kanak-kanak kurang pergaulan seperti Ali. Lihatlah berapa banyak budak muslim yang dibebaskan dan para faqir yang dibela Abu Bakar; Bilal, Khabbab, keluarga Yassir, Abdullah ibn Mas’ud. Dan siapa budak yang dibebaskan Ali? Dari segi kewangan, Abu Bakar sang saudagar, insyaAllah lebih dapat membahagiakan Fatimah. Ali hanya pemuda miskin dari keluarga miskin. "Inilah persaudaraan dan cinta”, gumam ’Ali. ”Aku mengutamakan Abu Bakar atas diriku, aku mengutamakan kebahagiaan Fatimah atas cintaku.”

Namun, sinar masih ada buatnya. Perkhabaran diterima bahawa pinangan Abu Bakar ditolak baik oleh Nabi. Ini menaikkan semangat beliau untuk berusaha mempersiapkan diri. Tapi, ujian itu bukan setakat disitu, kali ini perkhabaran lain diterima olehnya. Umar Al-Khatab, seorang sahabat gagah perkasa, menggerunkan musuh Islam dan dia pula cuba meminang Fatimah. Seorang lelaki yang terang-terangan mengisytiharkan keIslamannya, yang nyata membuatkan muslimin dan muslimat ketika itu yang dilanda ketakutan oleh tentangan kafir quraisy mula berani mendongak muka, seorang lelaki yang membuatkan syaitan berlari ketakutan. Ya, Al Faruq, sang pemisah kebenaran dan kebathilan itu juga datang melamar Fatimah. Ali mendengar sendiri betapa seringnya Nabi berkata, ”Aku datang bersama Abu Bakar dan Umar, aku keluar bersama Abu Bakar dan Umar, aku masuk bersama Abu Bakar dan Umar”. Betapa tinggi kedudukannya di sisi Rasulullah, di sisi ayah Fatimah. Ali redha kerana dia tahu Umar lagi layak darinya. Tetapi, sekali lagi peluang terbuka, tatkala perkhabaran diterimanya, bahawa pinangan Umar juga ditolak. Bagaimanakah sebenarnya menantu pilihan nabi, sedangkan dua sahabat baginda turut ditolak peminangannya?

Pada suatu hari Abu Bakar As-Shiddiq r.a., Umar Ibnul Khatab r.a. dan Sa’ad bin Mu’adz bersama-sama Rasulullah duduk dalam masjid. Pada kesempatan itu diperbincangkan antara lain persoalan puteri Rasulullah SAW. Saat itu baginda bertanya kepada Abu Bakar As-Shiddiq r.a “Apakah engkau bersedia menyampaikan persoalan Fatimah itu kepada Ali bin Abi Thalib?” Abu Bakar As-Shiddiq menyatakan kesediaanya. Ia beranjak untuk menghubungi Ali r.a.

Sewaktu Ali r.a. melihat datangnya Abu Bakar As-Shiddiq r.a. dgn tergopoh-gopoh dan terperanjat ia menyambutnya kemudian bertanya: “Anda datang membawa berita apa?” Setelah duduk beristirehat sejenak Abu Bakar As-Shiddiq r.a. segera menjelaskan persoalannya: “Hai Ali engkau adalah orang pertama yg beriman kepada Allah dan RasulNya serta mempunyai keutamaan lebih dibanding dengan orang lain. Semua sifat utama ada pada dirimu. Demikian pula engkau adalah kerabat Rasulullah SAW. Beberapa orang sahabat terkemuka telah menyampaikan lamaran kepada baginda untuk mempersunting puteri beliau. Lamaran itu telah beliau semua tolak. Beliau mengemukakan bahawa persoalan puterinya diserahkan kepada Allah SWT. Akan tetapi hai Ali apa sebab hingga sekarang engkau belum pernah menyebut-nyebut puteri beliau itu dan mengapa engkau tidak melamar untuk dirimu sendiri? Ku harap semoga Allah dan RasulNya akan menahan puteri itu untukmu.”

Mendengar perkataan Abu Bakar r.a. mata Saidina Ali r.a. berlinang air mata. Menanggapi kata-kata itu, Ali r.a. berkata: “Hai Abu Bakar, anda telah membuatkan hatiku bergoncang yang semulanya tenang. Anda telah mengingatkan sesuatu yang sudah kulupakan. Demi Allah aku memang menghendaki Fatimah tetapi yang menjadi penghalang satu-satunya bagiku ialah kerana aku tidak mempunyai apa-apa.” Abu Bakar r.a. terharu mendengar jawapan Ali itu. Untuk membesarkan dan menguatkan hati Imam Ali r.a. Abu Bakar r.a. berkata: “Hai Ali, janganlah engkau berkata seperti itu. Bagi Allah dan RasulNya dunia dan seisinya ini hanyalah ibarat debu bertaburan belaka!” Setelah berlangsung dialog seperlunya Abu Bakar r.a. berhasil mendorong keberanian Imam Ali r.a. untuk melamar puteri Rasulullah SAW.
Beberapa waktu kemudian Saidina Ali r.a. datang menghadap Rasulullah yang ketika itu sedang berada di tempat kediaman Ummu Salmah. Mendengar pintu diketuk orang, Ummu Salmah bertanya kepada Rasulullah : “Siapakah yg mengetuk pintu?” Rasulullah menjawab: “Bangunlah dan bukakan pintu baginya. Dia orang yang dicintai Allah dan RasulNya dan ia pun mencintai Allah dan RasulNya!” Jawapan Nabi Muhammad itu belum memuaskan Ummu Salmah r.a. Ia bertanya lagi: “Ya tetapi siapakah dia itu?” “Dia saudaraku orang kesayanganku!” jawab Nabi Muhammad.

Tercantum dalam banyak riwayat bahawa Ummu Salmah di kemudian hari mengisahkan pengalamannya sendiri mengenai kunjungan Saidina Ali r.a. kepada Nabi Muhammad s.a.w. itu: “Aku berdiri cepat-cepat menuju ke pintu sampai kakiku terantuk-antuk. Setelah pintu kubuka ternyata orang yang datang itu ialah Ali bin Abi Thalib. Aku lalu kembali ke tempat semula. Ia masuk kemudian mengucapkan salam dan dijawab oleh Rasulullah . Ia dipersilakan duduk di depan beliau. Ali bin Abi Thalib menundukkan kepala seolah-olah mempunyai maksud tetapi malu hendak mengutarakannya. Rasulullah mendahului berkata: “Hai Ali nampaknya engkau mempunyai suatu keperluan. Katakanlah apa yang ada dalam fikiranmu. Apa saja yang engkau perlukan akan kau peroleh dariku!”
Mendengar kata-kata Rasulullah SAW yang demikian itu lahirlah keberanian Ali bin Abi Thalib untuk berkata: “Maafkanlah ya Rasulullah. Anda tentu ingat bahawa anda telah mengambil aku dari pakcikmu Abu Thalib dan makcikmu Fatimah binti Asad di kala aku masih kanak-kanak dan belum mengerti apa-apa. Sesungguhnya Allah telah memberi hidayat kepadaku melalui anda juga. Dan anda ya Rasulullah adalah tempat aku bernaung dan anda jugalah yang menjadi wasilahku di dunia dan akhirat.
Setelah Allah membesarkan diriku dan sekarang menjadi dewasa aku ingin berumah tangga; hidup bersama seorang isteri. Sekarang aku datang menghadap untuk melamar puteri anda Fatimah. Ya Rasulullah apakah anda berkenan menyetujui dan menikahkan diriku dengan Fatimah?” Ummu Salmah melanjutkan kisahnya: “Saat itu kulihat wajah Rasulullah nampak berseri-seri. Sambil tersenyum beliau berkata kepada Ali bin Abi Thalib: “Hai Ali apakah engkau mempunyai suatu bekal mas kahwin?” “Demi Allah” jawab Ali bin Abi Thalib dengan terus terang “Anda sendiri mengetahui bagaimana keadaanku tak ada sesuatu tentang diriku yg tidak anda ketahui. Aku tidak mempunyai apa-apa selain sebuah baju besi sebilah pedang dan seekor unta.”“Tentang pedangmu itu” kata Rasulullah menanggapi jawapan Ali bin Abi Thalib “engkau tetap memerlukannya untuk perjuangan di jalan Allah. Dan untamu itu engkau juga perlu buat keperluan mengambil air bagi keluargamu dan juga engkau memerlukannya dalam perjalanan jauh. Oleh kerana itu aku hendak menikahkan engkau hanya atas dasar mas kahwin sebuah baju besi saja.

Aku puas menerima barang itu dari tanganmu. Hai Ali engkau wajib bergembira sebab Allah ‘Azza wa­jalla sebenarnya sudah lebih dahulu menikahkan engkau di langit sebelum aku menikahkan engkau di bumi!” Demikian riwayat yang diceritakan Ummu Salmah r.a. Setelah segala-galanya siap dengan perasaan puas dan hati gembira dgn disaksikan oleh para sahabat Rasulullah SAW mengucapkan kata-kata ijab kabul pernikahan puterinya: “Bahwasanya Allah SWT memerintahkan aku supaya menikahkan engkau Fatimah atas dasar mas kahwin 400 dirham. Mudah-mudahan engkau dapat menerima hal itu.” “Ya Rasulullah, itu ku terima dgn baik” jawab Ali bin Abi Thalib r.a. dalam pernikahan itu. Inilah jalan cinta para pejuang. Jalan yang mempertemukan cinta dan semua perasaan dengan tanggungjawab. Cinta tak pernah meminta untuk menanti. Seperti Ali. Ia mempersilakan. Atau mengambil kesempatan. Yang pertama adalah pengorbanan. Yang kedua adalah keberanian.

Dan ternyata tak kurang juga yang dilakukan oleh Puteri Sang Nabi, dalam suatu riwayat dikisahkan, bahawa suatu hari, Fatimah berkata kepada Ali: “Maafkan aku, kerana sebelum menikah denganmu. Aku pernah satu kali merasakan jatuh cinta pada seorang pemuda” Ali terkejut dan berkata, “Jikalau begitu, mengapakah engkau mahu menikah denganku? Dan Siapakah pemuda itu” Sambil tersenyum Fatimah berkata, “Ya, kerana pemuda itu adalah dirimu”... SubhanAllah...





‎:: Isteriku itu adalah sebaik-baik wanita bagiku! - Redha Seorang Suami ::

Seorang lelaki telah berumah-tangga dengan seorang wanita solehah. Hasil dari perkahwinan ini pasangan tersebut telah dikurniakan beberapa orang anak lelaki dan perempuan, kehidupan mereka sekeluarga sungguh bahagia dan sejahtera.

Si isteri sewaktu hidupnya, adalah seoarang wanita yang beriman dan bertaqwa, berakhlak mulia dan rajin beribadah, ia juga adalah isteri yang setia dan taat kepada suaminya, seorang ibu yang penyayang dan sebaik-baik pendidik kepada anak-anak-anaknya.

Rumah tangga yang indah ini kekal selama 22 tahun, sehinggalah si isteri meninggal dunia. Setelah jenazah si isteri diuruskan dengan sempurna, disolatkan dan dikebumikan, maka semua ahli-keluarga, saudara-mara dan kaum-kerabat berhimpun di rumah si suami untuk mengucapkan takziah. Kesemua yang berhimpun itu mahu mengucapkan kata-kata yang boleh meringankan dan mengurangkan rasa pilu dan kesedihan si suami kerana kehilangan isteri yang paling dikasihi dan dicintai.

Namun demikian, sebelum sempat sesiapapun berkata-kata, si suami telah berkata:
" semoga tidak ada sesiapapun dari kamu yang mengucapkan takziah kepadaku sebaliknya dengarlah kata-kata ku ini."

Semua yang berhimpun terkejut dan terdiam dengan kata-kata si suami itu..

Si suami meneruskan kata-katanya: "Demi Allah yang tiada Tuhan yang berhak disembah melainkanNya, sesungguhnya hari ini adalah hari yang paling bahagia dan gembira bagiku, lebih gembira dan bahagia dari malam pertamaku bersama isteriku itu.

Maha Suci Allah, sesungguhnya isteriku itu adalah sebaik-baik wanita bagiku kerana ia sentiasa mentaatiku, menguruskan diriku dan anak-anakku dengan sebaik-baiknya dan juga ia telah mendidik anak-anakku dengan sempurna. Aku sentiasa bercita-cita untuk membalas segala jasa-baik yang dilakukannya kepada diriku. Apabila ia meninggal dunia aku teringat sebuah hadith Nabi SAW ;

"Mana-mana wanita yang meninggal-dunia sedang suaminya redha kepadanya pasti akan masuk ke dalam Syurga."

Tatkala akan meletakkan jenazahnya di dalam lahad, aku telah meletakkan tanganku di kepalanya dan aku berkata: "Wahai Allah, Aku sesungguhnya redha kepadanya, maka redhailah ia." Ku ulang kata-kataku itu sehingga tenang dan puas hatiku..

Ketahuilah sekalian, sesungguhnya aku, di saat ini amat berbahagia dan bergembira, tidak dapat ku gambarkan kepada kalian betapa hebatnya kebahagiaan dan kegembiraan yang ku rasakan ini.

Maka barang siapa yang telah bercadang untuk mengucapkan takziah kepada ku atas kematian isteriku itu, maka janganlah kamu melakukannya. Sebaliknya ucapkanlah tahniah kepadaku kerana isteri telah meninggal dunia dalam keadaan aku redha kepadanya. Semoga Allah SWT menerima isteriku dengan keredhaanNya."

Template by:

Free Blog Templates