Like Sampai Jari Patah

Monday 15 September 2014

Epal Merah dan Susu

Pernah sekali saya bersafar dengan guru saya, 'Arifbillah Shaikh Hajee Ahmad Nakhuda Afriqi Muhajir Madani Hafizahullahu Ta'ala selama 3 hari sebagai khadim beliau.

Beliau mahsyur dikenali sebagai "Hajee Sahb" atau "Hajee Nakhuda" di Madinah. Beliau merupakan guru tareqat kepada permata ulama Sri Lanka iaitu Maulana Ismail dan ribuan lagi ulama dan orang awam telah berbaiahkepada beliau.

Dan beliau sendiri (Hajee Nakhuda) merupakan khalifah tareqah Chisty yang ke 34 kepada Qutbul Aqtab Ra'isul Muhaddisin Maulana Muhammad Zakariyya Al-Khandahlawi, wali Allah dari India, berketurunan Saidina Abu Bakar As-Siddiq radiyyallahu'anhu dan dimakamkan di perkuburan Baqi', Madinah bersama para Sahabat Nabi.

Yang menariknya, kubur beliau ialah kubur ulama yang paling dekat dengan kubur para Ummahatul Mukminin (para isteri Nabi).

Itu merupakan kemuliaan yang Allah berikan kepada ulama Sufi (tapi sayangnya mereka ini dituduh kafir dan musyrik oleh golongan Wahhabi terlajak pandai)...

Mana mungkin ahli neraka dan ahli syurga kuburnya berjiran, tentu para Sahabat Nabi dan isteri-isteri Nabi akan "terganggu" dengan azab-azab kubur seorang "ahli neraka" (dakwaan Wahhabi) yang dikuburkan berjiran dengan mereka.

Maka tidak dapat tidak, kita dapat fahami terkuburnya seseorang ulama di dalam antara kubur termulia, berdekatan dengan para kekasih Rasulullah merupakan tanda maqbul (penerimaan) Allah ke atas ulama tersebut. Semoga Allah terus menerangi kubur Shaikh Zakariyya Khandahlawi sehingga kiamat.

Shaikh Zakariyya disamping pejuang Ahli Sunnah Wal Jamaah yang tulen, beliau juga merupakan mursyid kepada 4 tareqat dan beliau antara masyaikh tertinggi dalam jemaah Tabligh iaitu sebuah jemaah dakwah yang dihidupkan oleh pakcik kandung beliau, Maulana Ilyas Khandahlawi Rahimahullah.

Sehingga ke hari ini, kitab "Fadhilat Amal" yang dikarang oleh Shaikh Zakariyya Khandahlawi rahimahullah digunakan secara meluas oleh jemaah Tabligh diseluruh dunia walaupun para Wahhabi berleter kononnya kitab itu penuh dengan kepalsuan dan ketahyulan. Tetapi, tidak dapat dinafikan bahawa kitab itu juga maqbul (diterima) di sisi Allah apabila ia menjadi kitab Islam yang paling banyak diterjemahkan dalam bahasa asing di seluruh dunia selepas Al-Quran. Hampir setiap masjid dan surau di seluruh dunia bahkan di negara-negara terpencil terdapat kitab ini yang diterjemahkan ke dalam bahasa masing-masing.

Tidak percaya? Cuba lihat di masjid berdekatan rumah kalian. InsyaAllah ada. Kalau tak ada, khabarkan pada saya.

Tapi bukan ini yang saya nak cerita.

Disebabkan saya sangat kasih kepada guru-guru saya, maka bercerita tentang mereka merupakan satu nikmat bagi saya dan ia merupakan amalan para ulama soleh sejak berkurun lamanya.

Ada seseorang komen tentang saya:

"Ibnu Batoota tu tak habis-habis cerita pasal syaikh dia. Taksub lah tu."

Ini adalah kalam orang jahil yang tidak perlu saya perhatikan langsung dan ia tidak muktabar dalam agama. Kerana cukuplah amalan menceritakan tentang guru itu dilakukan oleh para ulama dari dulu hingga kini, bahkan Maulana Zakariyya Khandahlawi sendiri ada mengarang beberapa kitab yang menceritakan secara khusus tentang GURU-GURU beliau.

Antaranya ialah kitab yang beliau namakan sebagai "Tazkiratul Syuyukh" (cerita tentang guru-guru), kitab yang lain tentang guru-guru beliau ialah kitab "Masyaikh Chist" (para guru tareqah Jistiyyah/Chistiyyah).

Bahkan para ulama lain juga sering menulis tentang guru mereka dan terdapat pelbagai kitab "manaqib" dan kitab-kitab biografi dan kitab khusus tentang seorang guru yang ditulis oleh murid-murid mereka.

Jika para ulama KARANG KITAB tentang guru mereka, maka mengapa pula saya dituduh taksub buta hanya kerana beberapa artikel saya tulis di fb tentang guru-guru saya?

Itulah yang dinamakan jahil murokkab yang tidak perlu saya perhatikan kalam-kalam mereka.

Anyway, dah habis cerita tentang guru. Apa yang saya nak sampaikan dalam status ni ialah sebuah pengalaman saya dan Syaikh Hajee Nakhuda tentang epal merah.

Semasa saya bersafar dengan beliau, setiap pagi beliau akan makan epal merah yang sudah dihaluskan dengan garfu (sebab syaikh sudah tua, gigi dah banyak tak ada, jadi tak kuat nak makan epal jika tak dilumatkan) dalam sebuah mangkuk kecil.

Saya cuma perhati dan tak tanya apa-apa.

Tetapi selepas beberapa kali ia menarik perhatian saya, saya pun beranikan diri tanya apa itu dan kenapa syaikh makan itu?

Beliau pun jawab yang ianya epal merah yang sudah dilumatkan. Katanya ia merupakan amalan para ulama khususnya para guru beliau untuk kecerdasan otak. Kemudian beliau ada sebut nama seorang ulama yang dilaqobkan namanya kepada "Ganggohi". Ulama laqob Ganggohi ni ada beberapa orang. Tapi saya lupa nama siapa yang beliau sebut, tak silap saya, ia merujuk kepada Syaikhul Hadith Maulana Rashid Ahmad Ganggohi rahimahullah.

Katanya, epal merah merupakan makanan harian mereka untuk menguatkan otak dan memori.

Asbab dari makan epal merah, mereka dapat menghafal ribuan hadith. Beliau sendiri amalkan ia dan menyebabkan memori beliau sangat kuat dan tak nyanyuk walaupun sudah sangat tua. Hafazan Al-Qurannya hebat (beliau perdengarkan pada saya bacaan Qurannya dengan hafalan dan minta saya periksa sebab itu saya tahu hafazannya baik), begitu juga hafazan hadithnya.

Kemudian beliau arahkan muridnya bawakan epal merah kepada saya dan kepada seorang lagi khadim beliau ketika itu dan perintahkan kami makan. Kemudian beliau nasihatkan supaya makan selalu dan beri anak-anak makan (tak silap saya).

Alhamdulillah, sehingga ke hari ini saya tak benarkan anak lelaki saya makan benda pelik-pelik. Coklat ke, jajan ke, keropok ke, gula-gula ke. Termasuklah susu tepung formula (walaupun saya "diperli hebat" oleh orang ramai termasuklah famili sendiri dan famili bidadari saya sendiri) atau makanan segera bayi.

Sebaliknya saya beri dia makan epal merah seperti nasihat guru saya dan disebabkan bidadari saya mengandung lagi, maka susu badan pun kering. Sedangkan anak pertama saya masih kecil (setahun lebih).

Saya dipaksa ibu saya untuk beri minum susu lembu tepung formula ciptaan yahudi. Tapi saya tolak, akhirnya saya istikharah dan check kitab, bagaimana amalan menyusu dilakukan dizaman Rasulullah sedangkan zaman tu belum wujud lagi susu formula.

Keputusannya, saya dapat fahami bahawa zaman dulu, ibu kandung akan susukan. Jika susu ibu kandung kering, mereka akan upah ibu susuan. Jadi saya cuba cari ibu susuan, tapi tak ada. Yang ada ialah ada orang nak derma susu badan berlebihan yang mereka bekukan.

Tapi hati saya menolak kuat kerana saya tak tahu apa amalan perempuan pemilik susu tu. Jaga solat ke tak, fasiqah ke tidak, puasa ke tak, kuat mengumpat ke tak. Saya tak mahu anak saya minum susu orang fasik sebab ia akan jadi darah daging anak saya.

Kemudian, saya baca lagi, apabila tak ada ibu susuan, orang zaman dulu akan berikan susu kambing. Bila saya kaji pasal susu kambing, memang ada kajian saintis yang mengatakan susu kambing merupakan susu terbaik selepas susu ibu. Hati saya sangat tenang dengan perkara tu. Jadi saya pun cari susu kambing tapi sangat susah kalau pakai susu fresh disamping ianya mahal.

Akhirnya saya jumpa pengilang serbuk susu kambing asli yang merupakan seorang muslim.

Dan saya ambil stok dari beliau dengan harga kilang.

Jadi anak saya pun minum susu kambing dan InsyaAllah selepas baby kedua kami lahir, Allah akan kurniakan susu badan semula pada bidadari saya, waktu tu anak pertama saya akan menyusu badan semula sehingga cukup 2 tahun seperti diperintahkan dalam Al-Quran, InsyaAllah.

Alhamdulillah, asbab dari epal merah dan penyusuan sunnah, anak saya cerdas, sihat walafiat dan tak pernah jejak kaki ke hospital/klinik kecuali ketika mula-mula lahir. Pernah demam beberapa kali, tapi tak serius mana. Bidadari saya cuma bagi minum air yang dibaca fatihah dan selawat je, Allah sembuhkan on the spot.

Pernah sekali dia demam campak dan esoknya flight kami dari Afrika ke Malaysia. Saya difahamkan kalau kena demam campak, kita tak boleh naik kapal terbang sebab ia berjangkit. Malam sebelum bertolak, kami solat hajat dan letak bedak sejuk di seluruh badan dia.

Esok pagi bangun, semua bintik-bintik hilang dengan izin Allah dan dapat naik kapal terbang. 2 hari sahaja dia demam campak.

Dan juga setiap kali saya zikir jahr (bersuara keras), dia akan berhenti bermain dan akan duduk dengan saya untuk zikir bersama-sama sambil geleng-geleng kepala. Umurnya baru setahun 3 bulan.

Ada yang perli saya:

"Kami tak mampu nak beli susu kambing macam dia. Mahal..."

Ketahuilah bahawa saya dan bidadari saya kedua-duanya tidak bekerja dan tidak pula makan minum dan susu anak kami disponsor sesiapa termasuklah ibu bapa saya atau ibu bapa mertua yang mana mereka juga tidak kaya. Saya tidak ada sumber pendapatan langsung kecuali bisnes online. (bisnes online saya ni pun, baru je mula sebelum merdeka baru-baru ni. Nak kumpul duit sikit untuk aqiqah, khatan, cukur rambut dan lain-lain urusan anak kedua saya nanti InsyaAllah.)

Segalanya dari Allah. Nak cerita susah. Macam nak cerita subjek Matematik Tambahan pada budak tadika. Last-last budak tadika tak faham, dituduhnya kita pulak yang sesat nanti.

Tapi apa yang saya boleh sampaikan ialah, bila mana kita berusaha untuk amal sunnah dengan penuh fikir risau, Allah akan mudahkan urusan kita semudah-mudahnya.


-uibo-

1 comments:

Unknown said...

Ini tergolong dlm ria annas. Celaka lah org ini.

Post a Comment

Template by:

Free Blog Templates