Like Sampai Jari Patah

Sunday, 24 July 2011

Akhlak : Bunga Peribadi

Assalamualaikum wbh,
Sahabat-sahabat yang dimuliakan Allah SWT..

Telah banyak kali tajuk dan perbincangan mengenai akhlak diketengahkan dan diperdebatkan.. di mana jua sekalipun ianya sering diperkatakan.. Tetapi apakah hanya dengan perdebatan, perbincangan, forum perdana dan lain-lain lagi sudah mencukupi untuk membawa arus perubahan yang positif di dalam diri seseorang individu, keluarga, masyarakat atau negara?

Maka dari itu bajailah akhlak, pupuklah khuluq.. semoga akan terbina seorang insan yang kental iman dan taqwanya kepada Allah SWT

Bila bercakap tentang sekuntum bunga, bayangan indah dan harumnya akan tergambar di benak kita. Mawar adalah sekuntum bunga yang bukan sahaja indah dan cantik, bahkan harum pula. Ramai yang sukakan bunga ini. Lelaki atau perempuan semua suka. Cuma kekadang lelaki agak egois untuk mengakuinya. Biasalah... kan guys?! Gimme five !!

Dalam hidup bermasyarakat dan bersahabat, kita jadikanlah diri kita sebagai bunga yang disukai oleh semua orang. Bukan senang untuk mencuri hati semua orang ni. Lain manusia lain sifat dan perangainya, kan? Tapi walau apapun manusia, mereka tetap punyai fitrah yang sama. Mungkin kulit mereka tak sama, atau jam tangan mereka tak serupa, tetapi fitrah mereka sama dan serupa.

Fitrah manusia sukakan akhlak yang mulia. Akhlak yang mulia umpama bunga mawar yang disukai oleh setiap orang. Lihatnya pun dah sejuk hati, bahkan kasih sayang pula ditebarkan luas-luas untuk dinikmati bersama. Akhlak mulia seperti selalu menghormati orang tua yang lemah, mengasihi kanak-kanak, menghargai kaum perempuan, tidak menyakitkan hati orang lain, bercakap dengan nada yang lembut, murah dengan senyuman dan macam-macam lagi adalah contoh akhlak yang disukai oleh semua manusia walau siapa pun mereka. Bukan saja manusia, kucing, kerbau dan lembu susu pun suka kalau kita tidak menyeksa mereka.

Akhlak dalam Islam mempunyai kedudukan yang tinggi. Akhlak termasuk dalam perkara-perkara yang asas dalam Islam dan tidak dibenarkan berlaku perselisihan pendapat padanya seperti mana persilisihan pendapat yang berlaku dalam cara dan rukun ibadah seharian seperti solat, wudhuk, zakat dan sebagainya. Akhlak diletakkan dalam keutamaan agama dalam ranking yang kedua selepas akidah.

Bahkan Allah sendiri dalam al-Quran, telah menyatakan bahawa tujuan Rasulullah diutuskan ke atas umat manusia ialah untuk menyempurnakan nilai-nilai akhlak dalam masyarakat. Memang masyarakat, pada fitrahnya adalah berakhlak mulia tapi kedatangan Rasulullah adalah sebagai menyempurnakan lagi dan memperkukuhkan lagi nilai akhlak dalam masyarakat.

Bagaimana akhlak yang baik boleh lahir? Sekuntum bunga yang mekar lahir daripada pohon yang subur dan sihat. Begitulah akhlak mulia, ia lahir daripada tapak IMAN kepada Allah yang kukuh.

Rasulullah pernah menyatakan bahawa: "Kamu tidak akan masuk syurga jika kamu tidak beriman dan kamu tidak dikira beriman jika kamu tidak berkasih sayang...." Ini bermaksud ada perkaitan antara IMAN dan akhlak. Jika Iman itu baik akan lahirlah akhlak yang baik. Jika iman seseorang kurang baik maka akan lahirlah akhlak yang tidak baik. Akhlak adalah manifestasi daripada Iman yang teguh pada Allah.

Iman pada Allah ialah percaya bahawa Allah adalah tuhan dan kita adalah makhluk ciptaanNya. Semua manusia adalah sama di sisi Allah. Dengan mengakui keEsaan Allah, secara automatik rasa ego, bangga diri, rasa diri hebat, menghina orang lain, merendahkan orang lain akan terhapus dengan sendirinya. Bila semua rasa ini terhapus, rasa hormat, rasa kasih, rasa sayang, rasa bangga dengan orang lain akan datang dengan sendirinya.

Orang yang berakhlak mulia akan disukai oleh semua orang. Pandai mengambil hati orang lain sekalipun emosi sendiri terpaksa dikorbankan. Memang sukar untuk menjadikan kita disukai oleh orang. Cakap soal akhlak yang baik adalah senang tetapi bagaimana untuk berakhlak itu adalah sangat susah.

Penumpuan harus diberikan ke atas cara bagaimana untuk anda mengambil hati orang lain dan menjaga perhubungan anda sesama manusia dalam pelbagai keadaan. Dalam satu situasi mungkin anda ingin menegur rakan, dalam situasi lain, anda ingin menarik perhatian rakan, situasi lain, anda mahu rakan anda suka pada anda, anda mahu dihormati, anda mahu dihargai, juga mahu menghormati dan menghargai, atau mungkin ada ketika terdapat pertembungan antara kepentingan diri, atau perjuangan dengan menjaga hati sahabat atau masyarakat.

Apabila terlihat seorang Muslim yang baik dari segi pakaiannya, kemas, rapi dan cantik, mata kita terus tertaut padanya. Tambahan lagi apabila seorang Muslim itu baik dari segi pakaiannya, kemas, rapi dan cantik serta berakhlak dan berperibadi yang lembut, ingin sahaja rasanya mata ini tidak berganjak dari melihatnya terus.

Islam dan Akhlak tidak dapat disempadani. Titik.

Seorang Muslim hakikatnya tidak boleh digelar Muslim atau penganut Islam yang sejati andai dirinya tempang dari segi akhlak sepertimana yang telah digariskan oleh Islam. Sejauh mana manusia pergi, secantik dan sekacak mana manusia ciptaan ALLAh itu, pasti yang manusia inginkan adalah akhlak yang baik.

Dan akhlak yang baik itu tidak boleh dinilai hanya dengan pakaian sahaja.

Pssst ~ Percaya tak, akhlak islami itu lebih harum dari bunga yang mekar? Senyum sikit.

Jadi, tanamkan iman kepada Allah dengan sepenuh kepercayaan, yakin dengan janji Allah seperti kematian, ujian hidup, akhirat, malaikat, jin dan syaitan. Tanamkan bahawa ketaatan pada Allah SWT adalah kunci akhlak yang mulia, patuhilah peraturan Allah demi menjamin keamanan dan keharmonian yang kita sendiri idamkan. 

Sebagai mana kita ingin menjadi idaman seseorang begitulah orang lain ingin menjadi idaman kita. 
Sebagai mana kita tidak mahu menjadi kebencian orang, begitulah orang lain tidak mahu menjadi kebencian kita. 
Sebagai mana kita mahu disayangi, begitulah juga orang lain mahu disayangi. 

Jika semua mahu dikasihi, siapakah yang mahu mengasihi? Jika semua mahu disayangi, siapakah yang akan menyayangi? Sesungguhnya Allah SWT itu sahaja yang Maha Pengasih Maha Penyayang

"jika tidak dapat apa yang kita suka...belajarlah untuk menyukai apa yang kita dapat.."

Akhlak yang dihias indah dengan Islam, lebih indah dari bunga yang mekar.
Wallahu'alam.

0 comments:

Post a Comment

Template by:

Free Blog Templates