Like Sampai Jari Patah

Sunday, 24 July 2011

Tangisan untukMu Ya Rabbi..



Rasulullah SAW telah bersabda, "Bahawa tidak akan masuk neraka orang yang menangis kerana takut kepada Allah sehingga ada air susu kembali ke tempat asalnya."

Dalam sebuah kitab Daqa'iqul Akhbar menerangkan bahawa akan didatangkan seorang hamba pada hari kiamat nanti dan sangat beratlah timbangan kejahatannya dan telah diperintahkan untuk dimasukkan ke dalam neraka.

Maka salah satu daripada rambut-rambut matanya berkata, "Wahai Tuhanku, Rasul Engkau Nabi Muhammad SAW telah bersabda, sesiapa yang menangis kerana takut kepada Allah SWT, maka Allah mengharamkan matanya itu ke neraka dan sesungguhnya aku menangis kerana amat takut kepadaMu."

Akhirnya Allah SWT mengampuni hamba itu dan menyelamatkannya dari api neraka dengan berkat sehelai rambut yang pernah menangis kerana takut kepada Allah SWT. Malaikat Jibril a.s mengumumkan, telah selamat Fulan bin Fulan sebab sehelai rambut."

Dalam sebuah kitab lain, Bidayatul-Hidayah, diceritakan bahwa pada hari kiamat nanti akan didatangkan neraka jahanam dengan mengeluarkan suaranya, suara nyalaan api yang sangat menggerunkan, semua umat manusia menjadi takut lantas berlutut kerana kesusahan menghadapinya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Kamu lihat (pada hari itu) setiap umat berlutut (iaitu merangkak pada lututnya). Tiap-tiap umat diseru kepada buku amalannya. (Dikatakan kepadanya) Pada hari ini kamu dibalasi menurut apa-apa yang telah kau kerjakan." (Surah al-Jatsiyah : 28)

Sebaik saja mereka menghampiri neraka, mereka mendengar kegeraman api neraka dengan nyalaan apinya dan diterangkan dalam kitab tersebut bahwa suara nyalaan api neraka itu dapat didengar sejauh 500 tahun perjalanan. Pada waktu itu, akan berkata setiap orang hingga Nabi-nabi dengan ucapan, "Diriku, diriku (selamatkanlah diriku Ya Allah) kecuali hanya seorang nabi saja yang akan berkata, "Umatku, umatku."

Beliau ialah junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Pada masa itu akan keluarlah api neraka jahim seperti gunung-gunung, umat Nabi Muhammad berusaha menghalanginya dengan berkata, "Wahai api! Demi hak orang-orang yang solat, demi hak orang-orang yang ahli sedekah, demi hak orang-orang yang khusyuk, demi hak orang-orang yang berpuasa, supaya engkau kembali."

Walaupun dikata demikian, api neraka itu tetap tidak mahu kembali, lalu malaikat Jibril berkata, "Sesungguhnya api neraka itu menuju kepada umat Muhammad SAW"

Kemudian Jibril membawa semangkuk air dan Rasulullah meraihnya. Berkata Jibril a.s. "Wahai Rasulullah, ambillah air ini dan siramkanlah kepadanya." Lalu Baginda mengambil dan menyiramkannya pada api itu, maka padamlah api itu.

Setelah itu Rasulullah SAW pun bertanya kepada Jibril a.s. "Wahai Jibril, Apakah air itu?" Maka Jibril berkata, "Itulah air mata orang derhaka di kalangan umatmu yang menangis kerana takut kepada Allah SWT. Sekarang aku diperintahkan untuk memberikannya kepadamu agar engkau menyiramkan pada api itu." Maka padamlah api itu dengan izin Allahu Rabbi.

Telah bersabda Rasulullah SAW, " Ya Allah anugerahilah kepada kami dua buah mata yang menangis kerana takut kepadaMu, sebelum tidak ditemunya air mata." 
Begitu cintanya Rasulullah SAW kepada umatnya sehingga mendoakan supaya kita semua terlepas dari azab api neraka.

Akan tetapi bagaimanakah dengan diri kita? Redhakah kita dengan segala ketentuan yang telah ditetapkanNya? 

Rasulullah SAW telah bersabda : ”Ada dua jenis titisan yang sangat-sangat dihargai Allah SWT. Titisan air mata kerana takutkanNya dan titisan darah yang ditumpahkan kerana berjuang dijalanNya.”

~ Menangislah.. menangislah.. menangislah.. ~

0 comments:

Post a Comment

Template by:

Free Blog Templates